downgila: October 2014

Thursday, October 30, 2014

Ragam Manusia

Hujung minggu lepas gua pulang ke kampung halaman, ingatnya nak tangkap gambar bersama keluarga. Tapi abang gua ada kat Raub, adik perempuan gua dekat Sabah, abang ipar gua dekat Hospital Lipis, adik gua yang lelaki lagi la haram gua tak jumpa lama dah.

Pada petang Sabtu tersebut, gua berkesempatan ke kedai Aji dengan motor Kriss abah gua. Seperti biasa apabila melepasi kelajuan 40 km/j maka perlahan-lahanlah motor lama bersopak-sopak itu terbang sampai ke petak parkir Majlis Daerah Lipis di Centrepoint yakni bangunan paling canggih dan hancing di Kuala Lipis.

Semasa terbang disebabkan di siang hari maka ramailah orang yang ternampak lalu menunjuk-nunjuk ke arah gua yang sedang memandu kereta di udara. Yang cemburu dan iri hati akan menuduhlah yang bukan-bukan bahawa gua ini kononnya ada membela jin Baghdad, mempunyai nuklear di rumah, berdamping dengan iblis dan segala macam tohmahan. Dan yang menuduh bukan-bukan itu bukanlah orang yang pelajarannya tidak baik. Kalau bukan guru sains pun, di dalam kumpulan itu ada peguam, majistret kelas dua, doktor pembedahan dan pengurus bank. Jelas banyak antara kita ini sudah lupa akan wawasan 2020.

Berbalik kepada perjalanan gua, akhirnya tidak sampai 3 minit, gua sudah di kaki bangunan Centrepoint. Bangunan itu kalau dikira peratusan peniaganya amatlah sedikit dari kaum melayu sendiri. Yang mungkin ramai peniaganya melayu cuma satu deret kedai makan di tingkat paling bawah.

Tapi malangnya walaupun mereka berniaga makan, mereka hanya mempunyai kepakaran memohon lesen perniagaan dan memohon premis sahaja. Maka makanan yang dihasilkan mereka semacam rasa papan alas lesen meniaga itu kesudahannya. Kasihan.

KUALA LIPIS CENTERPOINT

Kedai yang dituju gua adalah kedai Aji. Kedai Aji ini menjual makan yang ringan-ringan. Menu kebiasaannya adalah kuih kuih pelbagai jenis dan yang sepanjang masa digoreng adalah pisang goreng dan cucur sayur. Minuman yang ditawarkan pula yang utamanya adalah cendol. Kerana petang itu teduh, gua pilih untuk duduk di meja yang tak berbumbung. Udaranya lebih baik.

Gua memesan satu gelas teh tarik. Petang itu meja-meja dan bangku-bangku banyaknya diduduki oleh orang-orang pejabat yang baru tamat waktu kerja. Tidak kira dari pejabat mana, kerajaan mana, syarikat mana, semuanya berkumpul di situ untuk minum petang bertemu satu sama lain. Sesuailah dengan namanya Centrepoint. Tapi rasa gua mat kerajaan tak ada sebab mat kerajaan mana kerja hari Sabtu.

Oleh kerana petang itu gua duduk seorang diri, jadi susah pula hendak mengelak dari memerhatikan orang-orang di meja sekeliling.

"Aok de mana sekarang?" tanya satu mamat berbadan gempal yang bangun dari bangku yang gua kira ingin pulang ke rumah sesudah selesai urusan di situ tetapi singgah sebentar di meja sebelah kerana kebetulan terserempak dengan satu kawan lamanya. (*de=di)

Tubuhnya bersarung baju yang bagus. Seluar dan sepatunya pun bagus. Jam tangannya bagus. Telefon bimbitnya juga bagus dengan sistem bunyinya baik sekali. Boleh jadi dia itu kalau bukan pegawai pun, penolong pegawai. Kalau bukan penolong pegawai, mungkin kerani yang paling kanan. Kalau bukan kerani yang paling kanan pun, mungkin juga kakitangan yang paling rajin mengisi borang pinjaman bank.

"Keh sekarang de Kesihatan!" jawab kawannya yang kurus kering. Mereka nampak seronok ketika saling bertanya begitu. Sementelahan kedua-duanya di dalam kelas yang sama.

"Hoih, tak mudoh aok..." balas mamat gempal itu tersengih-sengih.

Cuba andaikan kalau kawannya yang kurus kering menjawab,

"Keh sekarang tak buat mende pun. Ngambik upoh mesin rumput je. Malam pulok karang meniaga burger de tempat berenti bas ekspres."

Yang mamat berbadan gempal itu agak-agaknya mungkin akan begini,

"Laaa... matnye gitu? Cari la kerja pasal sikit. Aok tu bukan makin ke muda!" (*mat=kenapa)

Keh keh keh. Kalau tak sama macam itu pun, lebih kurang macam itulah jadinya pada perkiraan gua.

Sehingga habis segelas teh, habis sepinggan cucur sayur (tidak lama duduk, tus air liur pula gua berasa hendakkan cucur sayur) bermacam-macam ragam dan tabiat yang tidak boleh tidak tengok itu dapat ditonton di satu bangku itu saja. Semasa gua memanggil Aji untuk mengira harga makan dan minum gua, Aji tersengih-sengih datang dan secara tiba-tiba menghulur tangan hendak bersalaman.

Semasa gua menghulurkan tangan untuk menyambut salam Aji, baru gua sedar rupanya Aji tak nak salam pun, beliau ingin mengira berapa cucur yang gua ambil. Cilakak.

Gua pulang dalam keadaan malu. Sama macam bila lu tadah doa khutbah jumaat tapi rupanya doa dah habis lepas tu lu buat buat gosok hidung. Puihh!